4.0
Adab Jiran Tetangga Menurut Imam Al-Ghazali
Dewasa ini, kesuntukkan waktu demi mengisi keperluan hidup
membuatkan antara kita tidak mengamalkan semangat kejiranan kerana tidak sempat
untuk bertegur sapa sesama jiran. Hal ini akan membuatkan perhubungan sesama
ahli masyarakat menjadi kurang mesra. Selain itu, kegagalan sesetengah individu
memahami konsep kejiranan dengan baik juga akan membuatkan berlakunya
perselisihan faham dan akan mewujudkan aura perhubungan yang negatif. Keadaan
ini pasti akan memperlahankan proses perpaduan dan boleh menimbulkan perasaan
kekok apabila sesakali bersua muka ditempat awam sama ada di pasar malam, surau
atau masjid bahkan ketika di kenduri perkahwinan dikawasan kejiranan.
Kepentingan adab berjiran amat penting dan dititik beratkan di
dalam agama Islam. Adab semasa pergaulan sesama jiran bermaksud segala sikap,
percakapan di dalam perbualan, senyuman, budi, pekerti, perangai, tingkahlaku
dan tabiat mestilah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan ianya mestilah
bersendikan Al-Quran dan Al-Sunnah. Islam telah menggariskan beberapa adab yang
perlu dipatuhi di dalam kehidupan berjiran. Antara yang paling ditekankan ialah
ketika berbicara sesama jiran. Hal ini kerana, setiap apa yang dibicarakan oleh
seseorang, ia menggambarkan apa yang ada didalam kotak fikirannya serta
perangainya. Bagi setiap muslim, semasa bersosial perlu mengelak membicarakan
sesuatu yang tidak berfaedah.
Imam Al-Ghazali menukilkan kisah di dalam kitabnya Ihya’
‘Ulumuddin’ bahawa hak jiran bukanlah sekadar mencegah diri kita daripada
menyakiti atau perbuatan yang tidak menyenangkan hati jiran sahaja, tetapi
hendaklah bersabar menahan perasaan jika disakiti bahkan lebih daripada itu.
Hendaklah kita memberi pertolongan kepada jiran dan menunjukkan rasa kasih
sayang.
Diceritakan bahawa Ibnu Muqaffa’ pada suatu hari mendengar
bahawa jirannya akan menjual rumah yang didiaminya kerana hendak membayar
hutang yang sudah banyak ditanggungnya. Pada waktu itu, Ibnu Muqaffa’ berkata
“Sekiranya dijual, tentu saya tidak memperolehi kerhormatan bernaung di bawah
rumahnya”. Tidak lama kemudian, dia menemui jirannya itu dan memberikan wang
mengikut kadar rumah itu sebagai sedekah dan berkata, “Janganlah saudara
menjual rumah saudara ini”.
Imam Al-Ghazali juha telah turut menyenaraikan hak-hak seseorang
muslim terhadap jirannya untuk kita sama-sama mengambil iktibar dan
pengajaran yang berguna sebagai panduan bersama ketika berinteraksi dengan
jiran tetangga iaitu:
§ -Hendaklah mendahulukan ucapan
salam kepadanya setiap kali bertemu
§ - Jangan terlalu banyak bertanya
kepadanya tentang keadaannya sehari-hari
§ - Menziarahi dirinya atau kaum
keluarganya apabila sakit ataupun ditimpa musibah
§ -Tunjukkan bahawa kita turut
berdukacita dan bersimpati jika mereka ditimpa musibah dan bersegera memberikan
pertolongan jika perlu sekalipun tanpa diminta
§ -Menyatakan perasaan gembira
apabila mereka memperoleh kesenangan atau kurniaan Allah SWT
§ -Ampunilah segala
kesalahan-kesalahan atau keburukkannya, baik dengan apa-apa cara sekalipun
§ -Jangan membuat sesuatu yang tidak
menyenangkan jiran kita umpamanya meletakkan batang kayu di dinding rumahnya
§ - Jangan menyempitkan jalan menuju
ke rumahnya
§ - Jangan mengintai-ngintai apa yang
dibawa olehnya ke dalam rumahnya
§ -Tutuplah kecacatan atau
kekurangan yang nampak di matamu dan jangan hebohkan kepada sesiapapun
§ - Berikanlah dia semangat untuk
terus berusaha menghadapi kesukaran apabila kesukaran menimpanya
§ - Jangan lalai menjaga rumahnya
pada waktu dia tiada atau sedang bermusafir
§ - Jangan mendengar kata-kata orang
lain yang mengeji dirinya, yang berupa umpatan atau berita-berita yang tidak
menyenangkan
§ -Tundukkan matamu sewaktu melihat
isteri/suaminya
§ -Jangan selalu memandang
hamba/pembantu rumahnya
§ - Bersikap lemah lembut terhadap
anak-anaknya baik dalam percakapan atau lain-lain
§ -Tunjukkan sesuatu yang tidak
diketahui oleh saudaranya, baik yang dalam urusan keduniaan atau keakhiratan.