Thursday, 22 February 2018


2.0              Konsep Jiran Di Dalam Islam
Manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang harus saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak  mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah masyarakat. Memiliki tempat tinggal termasuk di antara salah satu rezeki dan nikmat kerana padanya manusia tinggal dan huni serta menetap untuk melindungi diri dan meneruskan kehidupan dengan teratur dan selesa. 

Tempat tinggal itu berbeza-beza menurut situasi dan keadaan seseorang ada yang mampu memiliki rumah yang mewah dan selesa dan ada yang hanya sekadar mampu menghuni rumah teres dan rumah beratapkan zink dan diperbuat dari kayu dan papan. Walaubagaimana sekalipun keadaan penempatan seseorang itu maka sudah menjadi lumrah dia tidak akan berseorangan sebaliknya pasti memiliki jiran baik bagaimana jenis keadaan rumah penempatannya. 

Disebut di dalam hadith dari riwayat Ismail ibn Muhammad ibn Saad ibn Abi Waqas daripada bapanya daripada datuknya yang berkata telah bersabda Rasulullah SAW:

اربع من السعادة, المراة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء واربع من الشقاوة الجار الشوء والمراةالسوء والمسكن الضيق والمركب السوء

 Maksudnya: “Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .


Jiran muncul apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Maka Islam dalam memelihara hak sesama manusia serta memandu manusia untuk mencapai harmoni dan bahagia di dunia dan akhirat turut memasukkan aspek-aspek penting yang memandu hubungan kejiranan supaya manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa serta mendapat kebahagiaan seperti yang disebut di dalam hadith tadi.

Untuk mengupas esei ini dengan lebih lanjut, selain merujuk kepada beberapa buku yang berkaitan dengan tema perbincangan di dalam kertas kerja ini, penulis akan menghuraikan adab-adab dan hak jiran dari perspektif Islam sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya ‘Ihya ‘Ulumuddin.


No comments:

Post a Comment